Jika memandu kenderaan dari Kuala Lumpur ke Ipoh atau sebaliknya anda perlu berbelanja tidak kurang daripada RM50. Dengan perkhidmatan KTMB, kosnya cuma RM10.
SEORANG penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengenakan I-Pod kelihatan tenang ketika sedang menanti kereta api bertolak ke Ipoh, Perak. Dia begitu bersahaja ketika memasuki gerabak.
Tatkala dihampiri, Sutha Jayakumar, 28, yang bekerja di salah sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak mengakui, selepas KTMB memperkenalkan perkhidmatan tren ulang-alik dari Kuala Lumpur (KL) ke Ipoh sejak Disember lalu, dia kini lebih mudah mengatur perancangan perjalanan hariannya.
"Kini, jadual kerja saya sangat terancang. Saya tidak perlu bergegas untuk menaiki bas yang kadangkala bergerak awal dan kadangkala terlalu lambat sehingga mengganggu tugas saya.
"Lagi pun, saya lebih relaks dan tenang menaiki tren," katanya ketika ditemui pada pukul 8.50 pagi hanya kira-kira 10 minit lagi tren itu akan memulakan perjalanan dari KL ke Ipoh.
Akuinya, KTMB mengalami revolusi mengagumkan apabila berjaya menarik kepercayaan orang ramai untuk kembali menggunakan perkhidmatannya tanpa perlu berfikir dua kali berbanding pada era 70-an hingga 80-an.
Kerusi empuk yang tidak menyakitkan tulang belakang, kemudahan televisyen untuk menghilangkan kebosanan bagi perjalanan kira-kira tiga jam, tandas yang bersih dan ruang meletak beg yang luas menjanjikan keselesaan penumpang, selain penghawa dingin yang pasti membuatkan tidur anda lena.
Keselesaan semakin bertambah apabila staf-staf KTMB membantu anda dan bersedia menghulurkan pertolongan tatkala diperlukan.
Malah, ketika penulis bersama jurufoto Shaifudin Mohd. Nor diberi kesempatan menguji kredibiliti aliran tren dari KL ke Ipoh, destinasi yang dituju tiba awal daripada jangkaan.
"Wah, tidak sampai tiga jam. Ini lebih baik daripada kita menaiki kereta yang pastinya tersangkut dalam kesesakan lalu lintas," kata Shaifudin kepada penulis.
Selain selesa, perkiraan bajet kepada mereka yang memilih untuk menaiki tren dari KL ke Ipoh mendapati anda mampu menjimatkan kos sehingga 75 peratus berbanding kereta dan 44 peratus jika menaiki bas ekspres.
Menurut Pengurus Kanan Unit Komunikasi KTMB, Shahriza Embi, tambang tren KL-Ipoh ketika ini adalah RM10 untuk kelas ekonomi dan RM18 untuk kelas dua bagi perjalanan selama dua jam 56 minit.
Berbanding dengan perjalanan berkereta, seseorang perlu membayar tol RM26.50 dari Plaza Tol Jalan Duta hingga Plaza Tol Ipoh Selatan, selain kos minyak kira-kira RM30 untuk jarak pemanduan kira-kira 200 kilometer.
Perjalanan pertama untuk laluan KL-Ipoh setiap hari dari KL Sentral adalah pada pukul 5.30 pagi manakala perjalanan terakhir pada pukul 9.45 malam. Sementara itu, jadual dari Ipoh ke KL pula bermula dari pukul 8.30 pagi dan terakhir pukul 9.45 malam.
Terdapat 12 destinasi yang disinggahi untuk mengambil dan menurunkan penumpang, antaranya ialah Kepong Sentral, Sungai Buloh, Kuala Kubu Baru, Tanjung Malim, Slim River, Sungkai, Tapah Road, Kampar dan Batu Gajah.
"Purata penumpang bagi satu-satu perjalanan mencecah 100 orang dan bilangannya bertambah pada waktu hujung minggu," kata Shariza.
Seorang petugas di Istana Budaya, Mohd. Fitri Huri, 22, berkata, perkhidmatan itu menjadi alternatif terbaik dalam usaha melancarkan aliran trafik di ibu kota dan lebuh raya.
"Jika lebih banyak kenderaan awam disediakan dan bergerak dengan efisien, saya fikir lebih ramai orang akan meninggalkan kenderaan mereka seketika untuk pergi ke destinasi sejauh ini," katanya.
Mohd. Fitri menambah, sejak tahun lalu, dia sentiasa memilih keretapi ekspres itu meskipun sekadar berjumpa dengan rakan-rakannya di Ipoh.
Mohd. Fisol Ismail, 52, pula mengakui berlaku penjimatan hampir 70 peratus daripada bajet bulanannya. "Saya menjalankan perniagaan industri kecil dan sederhana di beberapa kawasan di Perak, jadi saya sering berulang-alik dari ibu kota ke Ipoh. "Perkhidmatan tren ini melegakan saya kerana dalam seminggu, saya terpaksa berulang-alik lebih kurang empat hingga lima kali ke Ipoh," katanya.
Selain itu, KTMB turut menyediakan alternatif untuk tempahan tiket secara talian bagi mengelak anda terpaksa beratur panjang.
Anda boleh menempah tiket secara talian dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 32435 dengan menaip KTMB>
No comments:
Post a Comment